Sejarah Pusat Sumber

Sekolah Kebangsaan Bayan Baru mula beroperasi pada 16 Julai 1994. Sekolah ini mendapat nama sempena sebuah tempat di Daerah Barat Daya, Pulau Pinang iaitu Bayan Baru. Tapak asal sekolah ini ialah tanah ‘rang’ yang dipenuhi dengan semak samun.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bayan Baru yang pertama juga pengasas sekolah ini ialah En. Baharul Azhar Omar. Pada mulanya, seramai 15 orang guru telah ditempatkan di sekolah ini bagi mendidik seramai lebih kurang 350 orang murid yang tinggal berhampiran persekitaran sekolah ini. Identiti sekolah ini dapat dilihat melalui lencana, bendera dan lagu sekolah dengan motonya iaitu “Berilmu Berwawasan”.

En. Baharul Azhar bin Omar merupakan orang yang bertanggungjawab memilih dan menempatkan Pusat Sumber Sekolah di aras 2 Blok Cempaka kerana kedudukannya yang strategik selaras dengan fungsinya sebagai gedung ilmu. Untuk memastikan Pusat Sumber Sekolah digunakan sepenuhnya di kalangan pelajar maka En. Hussain bin Salleh, Guru Besar Sekolah  Kebangsaan Bayan Baru yang kedua menyarankan program “Mari Membaca” untuk memupuk minat membaca dikalangan pelajar justeru  mereka mengunjungi Pusat Sumber Sekolah.

Pengganti  En. Hussain bin Salleh ialah Tuan Haji Osman bin Hussin yang mempunyai hobi membaca, telah merencanakan pelbagai aktiviti untuk menambahkan lagi bahan bacaan  di Pusat Sumber Sekolah. Antaranya ialah program “Satu Murid, Satu Buku”. Dengan cara ini bahan bacaan di Pusat Sumber Sekolah bertambah sekaligus dapat menarik minat pelajar untuk terus membaca.

Pn. Nasriah bt. Othman, wanita pertama yang menjawat jawatan guru besar di Sekolah Kebangsaan Bayan Baru melaporkan diri dan bertugas pada  05 April 2000 bagi menggantikan Tuan Haji Osman bin Hussin. Beliau  begitu menitikberatkan keselesaan penggunaan, kebersihan dan keceriaan Pusat Sumber. Beliau memberi perhatian yang khusus pada organisasi dan pentadbiran Pusat Sumber  agar berjalan dengan teratur dan berkesan. Beliau mahukan penggunaan Pusat Sumber dilakukan secara sistematik dan kemas. Beliau mempunyai impian agar Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan Bayan Baru  menjadi pusat  sumber contoh antara sekolah di negeri Pulau Pinang.

Pn. Asiah bt. Othman, guru besar yang kelima Sekolah Kebangsaan Bayan Baru telah menggantikan Pn. Nasriah bt. Othman pada 16 Mac 2005. Beliau telah berusaha gigih untuk  memperindahkan lagi Pusat Sumber Sekolah. Malahan, beliau banyak membantu  dalam proses membaikpulih Pusat Sumber Sekolah supaya lebih menarik. Semasa pentadbiran Pn. Asiah bt. Othman, Pusat Sumber Sekolah telah berjaya  memenangi Anugerah Pusat Sumber Cemerlang Peringkat Negeri Pulau Pinang bagi kategori Sekolah Rendah Bandar. Sekali gus melayakkan Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan Bayan Baru bertanding ke peringkat kebangsaan bagi tahun 2006. Pn. Asiah bt. Othman bertugas di SK Bayan Baru sehingga Oktober 2008.

Pn. Suarni bt. Ishak, guru besar yang keenam mula bertugas di SK Bayan Baru pada bulan Oktober 2008 menggantikan Pn. Asiah yang telah berpindah ke SK Taman Senangan. Di bawah pentadbiran beliau, Pusat Sumber turut diberi perhatian dengan membuat pelbagai penambahbaikan terutama dari segi keceriaan. Beberapa buah rak buku di perpustakaan juga turut ditukar dengan rak-rak yang baharu. Beliau juga turut memberi sumbangan idea ke arah peningkatan pusat sumber yang lebih cemerlang. Ini sejajar dengan pengalaman beliau yang pernah memegang jawatan sebagai Penyelaras Pusat Sumber di SK Bayan Baru suatu ketika dulu. Beliau bertugas di SK Bayan Baru sehingga Oktober 2011 dan telah bertukar ke SK Convent  Green Lane.

Pn. Hajah Che Maheran bt. Maina, guru besar yang ketujuh mula bertugas di SK Bayan Baru pada Oktober 2011 bagi menggantikan Pn. Suarni bt. Ishak. Seperti guru-guru besar yang lain sebelum ini, beliau turut memberi perhatian untuk penambahbaikan  pusat sumber sekolah. Di bawah pentadbiran beliau, pusat sumber sekolah turut bertanding dalam pertandingan pusat sumber sekolah cemerlang dan telah berjaya mendapat tempat ketiga peringkat Negeri Pulau Pinang. Pusat sumber sekolah juga turut diberi anugerah lima bintang. Sumbangan dan jasa  bakti beliau untuk pembangunan pusat sumber amatlah dihargai. Pada bulan Disember 2013, Pn. Hajah Che Maheran telah bersara dan diganti pula oleh Pn. Hajah Che Salmah bt. Ahmad.

Pn. Hajah Che Salmah bt. Ahmad, merupakan guru besar yang kelapan bertugas di SK Bayan Baru. Beliau mula bertugas di SK Bayan Baru pada  bulan Disember  2013 kerana menggantikan Pn. Hajah Che Maheran. Pada tahun pertama beliau di sini, pusat sumber sekolah sekali lagi bertanding dan mendapat  tempat kedua peringkat daerah barat daya. Pusat sumber sekolah juga turut  menerima anugerah lima bintang pada tahun tersebut. Beliau juga merupakan seorang guru besar yang sangat komited untuk memberi sumbangan idea ke arah pencapaian pusat sumber sekolah yang lebih cemerlang.

Tahun berikutnya, di bawah pentadbiran Pn. Hajah Che Salmah , pusat sumber sekolah sekali lagi bertanding dan mendapat  tempat kedua peringkat daerah barat daya. Pusat sumber sekolah turut menerima anugerah lima bintang pada tahun tersebut. Pusat sumber sekolah juga mendapat anugerah saguhati bagi peringkat Negeri Pulau Pinang.

En. Azhar b. Mardzuki merupakan guru besar yang kesembilan bertugas di SK Bayan Baru menggantikan Pn. Hajah Che Salmah bt. Ahmad yang bersara pada 16 Januari 2017. En. Azhar b. Mardzuki mula mengorak langkah sebagai guru besar pada 19 Januari  2017. Permulaan kerjayanya sebagai Guru Besar di SK Bayan Baru, beliau terus menyokong agar pusat sumber sekolah terus cemerlang pada tahun ini. Beliau memberi dorongan agar Pusat Sumber SK Bayan Baru menyertai lagi Penilaian Pusat Sumber Sekolah Peringkat Daerah dan Negeri Pulau Pinang untuk tahun ini. En. Azhar turut memberi sumbangan idea dan tenaga demi kecemerlangan pusat sumber sekolah.

Terdapat beberapa bilik khas yang bernaung di bawah Pusat Sumber Sekolah. Setiap bilik ini dikendalikan oleh jawatankuasa atau organisasi yang telah dilantik oleh Guru Besar. Bilik Resos membekalkan kepada guru bahan-bahan dan alatan untuk pengajaran dan pembelajaran di dalam  kelas yang merangkumi kesemua mata pelajaran. Bilik tayangan/SWIPE digunakan untuk menayang atau mempertontonkan kepada pelajar bahan-bahan dalam bentuk elektronik. Bilik ini juga merupakan pusat pembelajaran abad ke-21. Bilik SAL ( Self  Access Learning ) digunakan untuk memantapkan lagi penguasaan pelajar dalam Bahasa Inggeris. Bilik-bilik ini dikawal dan dijaga dengan baik agar penggunaannya berjalan dengan baik dan selesa.

Sejajar dengan kedudukannya yang strategik, prasarana yang lengkap dan suasana yang kondusif, pencapaian pelajar-pelajar dalam bidang kurikulum dan kokurikulum amat membanggakan. Pada tahun 2015, bilangan pelajar  seramai 951 orang dan tenaga pengajar seramai 85 orang, 12 orang staf sokongan, Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan Bayan Baru terus mengorak langkah untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

Pada tahun 2016, bilangan tenaga pengajar seramai 84 orang, bilangan pelajar seramai 796 orang dan 12 staf sokongan. Kini pada tahun 2017, bilangan pelajar  seramai 723 orang dan tenaga pengajar seramai 84 orang, 10 orang staf sokongan, Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan Bayan Baru terus mengorak langkah untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.